21 pekerja kilang berasak dalam pondok daif - Utusan Malaysia

21 pekerja kilang berasak dalam pondok daif

MUHAMMAD Fauzi Abd Ghani (kiri) memeriksa rumah penginapan pekerja dalam operasi di Kampung Kepayang dekat Simpang Pulai hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 21 pekerja di sebuah kilang terpaksa tinggal berasak-asak dalam tiga buah pondok kecil dan daif selain tanpa kemudahan tandas.

Itu yang dikesan di sebuah kilang pembuatan jubin di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini dalam operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri di sini hari ini.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd. Ghani berkata, 14 pekerja warga asing dan tujuh warga tempatan  tinggal dalam keadaan yang sangat membimbangkan dari segi keselamatan di pondok itu. 

Katanya, dari segi keluasan bilik, ruangannya amat sempit dan pekerja juga terpaksa membuat pendawaian elektrik sendiri.

“Tempat tinggal mereka ini tidak selamat untuk didiami.

“Majikan menempatkan 21 pekerja di tempat yang tidak menerima perakuan penginapan dari Ketua Pengarah Tenaga Kerja mengikut Seksyen 24D Akta 446, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai  Operasi Banteras Buruh Paksa Pemerdagangan Orang di sini hari ini.

Menurut Muhamad Fauzi, JTK akan membuka dua kertas siasatan di kilang itu di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Peraturan 8 Akta Kerja 1955. 

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah majikan gagal mendapatkan perakuan penginapan pekerja dan belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut.

“Majikan juga dikesan tidak menyediakan penginapan yang selamat mengikut Akta 446. 

“Pihak kilang boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. 

Muhamad Fauzi berkata, di bawah Peraturan 8 Akta Kerja 1955, pihak kilang boleh didenda sebanyak RM10,000 bagi setiap kesalahan kerana tidak menyediakan syarat perkhidmatan kepada pekerja. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN