20,051 calon duduki SPM di Pulau Pinang 

20,051 calon duduki SPM di Pulau Pinang 

SERAMAI 20,051 calon di Pulau Pinang menduduki peperiksaan SPM tahun 2021 di 150 pusat peperiksaan yang bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 20,051 calon di Pulau Pinang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 di 150 pusat peperiksaan yang bermula hari ini. 

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul  di sini mendapati, pelajar mula tiba seawal pukul 6.30 pagi. Sebahagian daripada mereka dihantar oleh ibu bapa masing-masing. 

Malah, guru-guru turut membantu membuat pemantauan rapi pergerakan pelajar supaya mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Pelajar juga dilihat mengambil bacaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan sekolah. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, daripada keseluruhan jumlah calon itu, seramai 18,427 adalah calon di 122 buah sekolah kerajaan. 

“Selain itu, 369 orang adalah calon SPM di tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 158 calon di lapan Sekolah Agama Negeri (SAN). 

“Seramai 123 pelajar pula merupakan calon berkeperluan khas (CBK),” katanya kepada pemberita di SMK Bukit Jambul, di sini hari ini. 

Menurut beliau, setakat semalam seramai 137 calon terjejas akibat Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin. 

“Daripada jumlah itu, 98 calon didapati positif Covid-19 manakala 39 pelajar adalah kontak rapat. 

“Kesemua mereka akan menduduki peperiksaan SPM fasa dua yang tarikhnya akan diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, sebanyak 15 buah hospital di lima daerah di negeri ini dijadikan pusat persediaan kepada calon yang berdepan dengan isu kesihatan. 

“Jika terdapat calon mengalami masalah kesihatan mereka akan menduduki SPM di situ dan hari ini terdapat seorang calon menduduki peperiksaan di hospital,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN