KUALA KRAI: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika keluar memeriksa perahunya di tebing Sungai Galas dekat Pangkalan Lan, Kampung Kuala Gris, Dabong, di sini petang semalam.
Mohamad Ishak, 70, keluar rumah kira-kira pukul 5 petang, namun anaknya, Ahmad Azhari, 36, mendapati mangsa tidak pulang-pulang hingga sekarang.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, sebelum keluar, mangsa memberitahu anaknya mahu memeriksa perahunya kerana paras air sungai naik.
“Selepas dua jam, Ahmad Azhari mendapati bapanya tidak pulang-pulang sehinggalah pukul 7.30 malam.
“Bimbang dengan keselamatan mangsa, anaknya bergegas ke Pangkalan Lan dan mendapati motosikal serta barang milik mangsa masih ada di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Suzaimi berkata, Ahmad Azhari cuba mencari bapanya di kawasan berhampiran, namun tidak diketemukan lalu membuat laporan di Balai Polis Dabong.
“Sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mencari mangsa. Kita turut memaklumkan kejadian ini kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Dabong.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa segera digerakkan dengan kerjasama penduduk kampung menggunakan sebanyak 10 bot dan perahu namun setakat ini dia masih belum ditemukan,” katanya. – UTUSAN