GEORGETOWN: Tiga warga asing termasuk seorang wanita yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran pil kuda di negeri ini ditahan dalam tiga serbuan berbeza di sekitar Jelutong di sini, dua hari lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pil kuda bernilai RM900,000; dadah jenis syabu berjumlah RM69,500 dan pil jenis psikotropik bernilai RM9,000 di apartmen salah seorang suspek di Jelutong.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 34 hingga 47 tahun itu dipercayai mengedar pil serta dadah berkenaan sejak Mac tahun lalu.
Katanya, salah seorang suspek telah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu dan mereka mengaku bekerja sebagai kontraktor binaan manakala wanita yang ditahan adalah teman wanita salah seorang suspek berusia 36 tahun.
“Menerusi operasi ini, polis berjaya merampas 15 bungkusan kertas berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi 30 paket plastik disyaki pil kuda berjumlah 90,000 biji bernilai RM900,000.
“Selain itu, polis juga merampas dua bungkusan plastik disyaki dadah syabu seberat 1.93 kilogram (kg) bernilai RM69,500 dan turut dirampas 18 paket lutsinar berisi pil jenis psikotropik berjumlah 27,000 biji bernilai RM9,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek didapati mempunyai dokumen sah tinggal di negara ini dan hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.
“Polis percaya pil psikotropik yang dirampas adalah untuk pasaran pekerja di tapak pembinaan kerana pil berkenaan dapat membantu mengatasi masalah tidur dan kemurungan.
“Selain itu, polis turut menyita tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM82,550 dan keseluruhan nilai rampasan dadah ialah RM978,500,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 39 hingga 53 tahun dalam dua serbuan di dua buah rumah di Kubang Semang dekat sini semalam dan kelmarin kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja.
“Suspek bekerja sebagai buruh dan petani dan polis menjumpai tiga ketulan mampat plastik lutsinar disyaki ganja dengan anggaran berat 950 gram bernilai RM2,375 di kediaman suspek. Selain itu, polis turut menjumpai wang tunai bernilai RM181,000 di rumah suspek dan risikan mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.
Ujar beliau, polis turut menyita dua buah kenderaan serta wang tunai berjumlah RM192,000 dan hasil ujian air kencing ke atas tangkapan didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah.
Tambahnya, bagi kedua-dua kes itu nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM1.25 juta dan kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta direman selama tujuh hari bermula semalam. – UTUSAN