PUTRAJAYA : Tiada keperluan mendesak untuk Kerajaan Negeri Kedah membina stadium baharu yang bernilai RM70 juta buat pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kerana stadium yang sedia ada masih dapat berfungsi dengan baik.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, adalah lebih baik Menteri Besar sekarang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menumpukan sepenuh perhatian kepada keresahan peningkatan kos sara hidup rakyat.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu yang juga bekas Presiden KFA memberitahu, Stadium Darul Aman yang digunakan hari ini masih mampu memuatkan sehingga 26,000 penonton.
Malah katanya, ketika musim pandemik ini bukannya dapat memuatkan sehingga 26,000 orang pun, justeru tangguhkan saja projek pembinaan tersebut.
Menurutnya, pembinaan stadium yang pernah dicadangkan ketika beliau memimpin KFA tidak perlu direalisasikan dalam keadaan ekonomi tidak menentu selain rakyat dibelenggu bebanan hidup ekoran penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Kita pernah cadangkan pada zaman saya untuk bina stadium negeri yang baharu di Stargate, Pendang. Ada satu bidang tanah yang luas cukup untuk pembinaan. Saya tak pasti kalau tempatnya sama. Cadangan ketika itu bukan di bawah pembiayaan kerajaan negeri. Kita sangat mengharapkan tajaan swasta.
“Tetapi adakah perlu dibina sekarang? Saya sudah sebut masa mula-mula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dua tahun lepas dan saya rasa kata-kata itu masih lagi relevan. Saya rasa tangguh dulu sebab rakyat tengah susah.
“Jangan cerita pasal stadium, airport, projek-projek mega. Rakyat sedang bising pasal harga ayam naik, nak cerita pasal stadium buat apa,” katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Minggu lalu Muhammad Sanusi mengumumkan bakal membina membina sebuah stadium baharu bernilai RM70 juta di Sungai Petani yang dilengkapi pelbagai kemudahan selain menjadi pusat latihan pemain yang mampu meletakkan mereka sebaris dengan Johor Darul Ta’zim (JDT). – UTUSAN
** Wawancara penuh di muka 12 & 13 akhbar Mingguan Malaysia










