JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta tidak melibatkan guru-guru yang mengajar di sekolah menengah dalam negeri ini sebagai petugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana keterlibatan mereka akan mendedahkan diri dengan penularan pandemik Covid-19 sekali gus memberi ancaman kepada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada waktu sama.
“Saya bimbang jika guru-guru sekolah menengah terlibat dalam proses pilihan raya sebagai ejen atau pegawai sementara SPR yang akan melalui banyak mesyuarat, latihan dan tugasan serta dibimbangi terkena jangkitan Covid-19.
“Jika itu berlaku ia akan menyebabkan guru-guru berkenaan perlu dikuarantin dan ini sudah tentu akan menjejaskan persiapan pelajar yang mengambil peperiksaan SPM,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Justeru, Hassan berharap SPR mengambil perhatian berhubung perkara itu kerana pada masa ini kes baharu Covid-19 di Johor antara yang tertinggi di seluruh negara.
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, pihaknya akan memohon SPR untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat mengundi pada PRN Johor.
Menurut beliau, keputusan itu diambil bagi membolehkan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. -UTUSAN ONLINE