IPOH: Kesibukan kerja dan terlupa antara alasan yang diberikan pemandu kenderaan perdagangan selepas didapati gagal memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM).
Alasan itu diberikan ketika pemeriksaan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini hari ini.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, rata-rata mereka juga memberi alasan terlupa tempoh moratorium bagi pelanjutan pembaharuan LKM dan LMM telah tamat pada Disember lalu.
“Sebelum ini, kita ada moratarium hingga hujung tahun tetapi disebabkan sibuk dan leka, mereka terlupa yang tempoh moratarium untuk perbaharui lesen itu telah tamat.
“Kalau ikutkan, lesen memandu tamat tempoh sama dengan tarikh lahir, jadi setiap kali ulang tahun kelahiran, mereka tengok lesen. Jika sudah tamat tempoh, lekas-lekas perbaharui lesen di kaunter JPJ, Pos Malaysia Bhd. dan MyEG Services Sdn. Bhd. (MyEG),” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.
Menurut beliau, dalam operasi bermula pukul 8 malam itu, 380 buah kenderaan diperiksa dengan 159 notis dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
Katanya, seramai tiga individu didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Selain itu, polis turut mengeluarkan 101 saman manakala lima individu ditangkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas kesalahan imigresen,” katanya.
Tambah beliau, operasi tersebut memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan yang membawa muatan melebihi had yang dibenarkan dalam peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain mengesan kesalahan teknikal.
“Objektif utama operasi ini adalah bagi memastikan kenderaan perdagangan mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan serta kenderaan perkhidmatan awam selamat digunakan,” katanya.
Operasi berakhir pukul 12 tengah malam itu disertai 96 anggota membabitkan JPJ, Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR), Kenderaan Peronda Lebuh Raya (EMPV), AADK, JIM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). –UTUSAN ONLINE