Sempadan: Tempoh 3 minggu KKM kemuka pandangan - Utusan Malaysia

Sempadan: Tempoh 3 minggu KKM kemuka pandangan

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan replika cek kepada usahawan sambil diperhatikan Hasni Mohamad dan Noh Omar sempena Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan MBIP Taman Nusantara, Iskandar Puteri. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan memberi tempoh sehingga tiga minggu kepada Kementerian Kesihatan untuk mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan sama ada mahu membuka terus pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.

Beliau berkata, kerajaan tetap perlu membuat pertimbangan yang seimbang sebelum melaksanakan perkara itu kerana tidak semua rakyat dapat menerima hakikat bahawa mereka perlu hidup dengan Covid-19.

“Pelbagai pandangan diberikan (mengenai sempadan). Ada yang kata kita boleh buka (sempadan) kerana macam saya kata sebelum ini, kita perlu mendidik rakyat untuk hidup bersama Covid-19.

“Cuma tak semua orang berani menerima hakikat dan minta kerajaan kawal pergerakan dan sebagainya, sebab itu perlu ada pertimbangan yang seimbang.

“Keseimbangan itu yang sedang dicari Kementerian Kesihatan dan kita beri tempoh dua ke tiga minggu untuk bentang dalam Kabinet agar kita dapat buat keputusan sama ada buka terus sempadan atau masih perlu sekatan-sekatan kepada negara tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang membuka laluan khas kepada pekerja rakyat Johor yang kini berada di Singapura untuk pulang mengundi, Ismail Sabri berkata, perkara itu perlu melihat kepada peraturan semasa negara jiran berkenaan.

“Kalau boleh memang kita nak rakyat bebas balik mengundi kerana dari segi demokrasi setiap rakyat berhak untuk mengundi tapi mereka berada di Singapura dan terpaksa mematuhi peraturan dan undang-undang Singapura.

“Tetapi kalau pintu ditutup kerana faktor kesihatan dan Singapura ada peraturan tertentu yang menyukarkan rakyat balik, maka kena patuh kerana ini juga melibat negara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kebenaran kempen secara bersemuka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kerajaan tidak campur tangan dengan sebarang tindakan dilakukan  SPR yang merupakan sebuah badan bebas. Kita tunggu sahaja pengumuman SPR.

“Saya pasti sebelum mereka umum SOP untuk PRN Johor, mereka akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN