PRN Johor: Tidak wajar longgar SOP ketika kes meningkat - Utusan Malaysia

PRN Johor: Tidak wajar longgar SOP ketika kes meningkat

SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak wajar dilonggarkan memandangkan kes positif Covid-19 di Malaysia semakin meningkat.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kelonggaran SOP itu hanya mengundang masalah.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan SOP ketat seperti yang diterapkan di PRN Melaka dan Sarawak, proses pilihan raya itu tetap dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah dan peningkatan kes.

“Saya tidak bersetuju jika SOP di PRN Johor dilonggarkan, ia hanya mengundang masalah. Ketika ini, kes juga semakin meningkat dan semua pihak tidak boleh memandang ringan walaupun ramai sudah divaksin.

“Pemimpin juga perlu tunjukkan contoh yang baik kepada rakyat, sekarang kes di Johor juga meningkat dan semestinya kita perlu berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan. Jika boleh buat seperti di PRN Melaka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Sharifa Ezat berkata, antara alasan kukuh untuk tidak melonggarkan SOP di PRN Johor adalah kerana ketika ini gelombang varian Omicron semakin menular.

“Saya dengar ada yang bercakap-cakap bahawa Omicron tidak memberi kesan yang buruk, tetapi kena ingat bahawa kebolehjangkitan Omicron adalah lagi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, sesi bersemuka semasa kempen PRN Johor tidak digalakkan.

Katanya, sekiranya dibenarkan, PRN Johor dijangka menjadi penyumbang kepada peningkatan kes harian yang ketika ini sudah mula menunjukkan pola menaik.

“Sekarang tekanan masih ada, jika orang ramai berkumpul semasa berkempen, ia akan mengundang masalah kerana nilai R-Naught untuk varian Omicron lebih tinggi berbanding varian lain.

“Tidak mustahil jika SOP PRN Johor dilonggarkan, penyebaran dan peningkatan boleh kembali mencecah kepada 10,000 kes sehari. Di Malaysia bukan hanya ada Omicron semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu katanya, parti politik yang terlibat di PRN Johor dinasihatkan tidak mendesak untuk melonggarkan SOP kerana masih ada saluran lain yang lebih berkesan untuk berkempen selain secara bersemuka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN