KETIKA Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan (PH) menang, seorang lagi calon yang dilihat sesuai untuk dipertaruhkan mereka datangnya daripada DAP.
Berketurunan Melayu, anak jati Kluang dan mempunyai pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh juga mungkin boleh menggalas tanggungjawab itu.
Ketika ini, Sheikh Umar yang baru berusia 36 tahun satu-satunya calon Melayu yang dinamakan DAP dan beliau juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu tunggal daripada parti itu yang bertanding dan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Mula bertugas sebagai Pegawai Khas kepada bekas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pada 2014 hingga 2017, Sheikh Umar pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan menyandang jawatan Penolong Pengarah di Jabatan Imigresen dan Penolong Setiausaha di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
DAP juga dilihat menyenangi karakter dan kredibiliti Sheikh Umar sebagai antara pemimpin Melayu dalam parti itu yang disenangi pengikutnya selain beberapa lagi individu lain seperti Marina Ibrahim yang turut dikatakan akan bertanding dalam PRN Johor.
Sheikh Umar juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya dan kini menjadi Naib Pengerusi DAP Johor selain diamanahkan sebagai Ketua Pemuda DAP negeri dan Ketua Penerangan PH Johor.
Meskipun menang dengan majoriti tipis iaitu 783 undi pada PRU-14, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Ekonomi Kreatif, Penerangan, Belia dan Sukan negeri semasa PH memerintah Johor.
Bagaimanapun pimpinan PH ketika ini kekal menyatakan pendirian mereka masih belum mengadakan sebarang perbincangan untuk mengemukakan nama-nama calon Menteri Besar sekiranya berjaya merampas semula Johor.
Namun, PKR dikatakan akan mencadangkan nama Maszlee sebagai calon daripada parti itu manakala Amanah juga tidak ketinggalan mahukan pemimpin mereka menjadi Menteri Besar pertama di Johor dan negara ini sekiranya menang.
Ketika memenangi PRU-14 lalu, PH mengangkat bekas ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar ke-16 sebelum diteruskan oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal pada 14 April 2019.
Tetapi ketika berlaku pergolakan politik tanah air pada awal tahun 2020, PH terlepas daripada menjadi kerajaan negeri setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar daripada gabungan itu. – UTUSAN ONLINE










