PRN Johor: Pengundi muda mungkin tolak BN?

PRN Johor: Pengundi muda mungkin tolak BN?

PENGUNDI muda yang bakal mengundi pertama kali dilihat mampu menjadi penentu kepada kemenangan parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Johor pada 12 Mac depan.

PUTRAJAYA: UMNO tidak boleh terlalu yakin walaupun berupaya menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini memandangkan pengundi muda yang bakal mengundi kali pertama ada kemungkinan tidak memilih parti itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, kecenderungan golongan tersebut sama ada me­nerima atau menolak parti itu belum dapat dipastikan.

Katanya, perlu juga diingatkan kemenangan di 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) juga tipis.

“Undi 18 boleh menjadikan kedudukan di 30 kerusi DUN ini suatu hambatan. Isu kontemporari seperti kenaikan harga barangan keperluan akan menggoyahkan pilihan pengundi kepada UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Ini termasuk isu vaksin dan dos penggalak yang banyak dimainkan, isu pengangguran, isu sekolah dan sistem pendidikan yang masih dipersoal rakyat boleh dipolitikkan oleh pihak lawan,” katanya di sini semalam.

Kartini berkata, keretakan hubungan UMNO-Pas-Bersatu juga boleh mengurangkan lagi sokongan pengundi kepada parti itu.

Kata beliau, isu perpecahan tiga parti Melayu itu amat meletihkan orang-orang Melayu yang mahu ketiga-tiga parti ini boleh bermuafakat dan membentuk gagasan bersama.

“Perpecahan orang Melayu menyebabkan keputusan PRU 2018 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan 95 peratus sokongan bukan Me­layu, berbanding 20 peratus Melayu.

“PRN Johor dan seterusnya menjelang PRU-15 mungkin mem­buka lembaran baharu dari segi cabaran dan defisit kontemporari yang boleh menyebabkan strategi perkongsian kuasa berubah mengikut kepentingan semasa,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN