ARAU : Pas berharap tidak berlaku berbalas balas kenyataan antara parti itu dan UMNO meskipun kedua-dua parti tersebut terpaksa bertembung di lebih 10 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pemimpin kedua-dua parti itu perlu berkempen secara berhemah dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh meretakkan hubungan.
“Janganlah hancurkan perpaduan kita dengan kempen serang menyerang. Berkempen secara sihat dan dalam masa sama kekal menjaga semangat perpaduan itu.
“Saya juga menasihatkan pemimpin-pemimpin Pas agar mengelak daripada menyerang UMNO dalam kempen PRN Johor ini. Kita bertanding dalam semangat perpaduan. Insya-Allah saya percaya harapan untuk melihat perpaduan antara Pas dan UMNO itu masih ada,” katanya.
Proses penamaan calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sempena PRN selesai diadakan kelmarin.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai calon yang akan ditandingi PN pada PRN Johor dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 33 calon, Pas (15) dan Gerakan lapan kerusi.
Pas bakal bertanding di kerusi DUN Pulai Sebatang, Tenggaroh, Tiram, Parit Yaani, Machap, Senggarang, Jementah, Bukit Pasir, Serom, Kemelah, Simpang Jeram, Tanjung Surat, Maharani, Sri Medan dan Paloh.
Sementara itu, Hashim berkata, Pas telah selesai memilih calon dan meletakkan pemimpin
terbaik dalam PRN Johor bulan depan.
“Kita menaruh harapan menang dalam PRN Johor meskipun diakui mendapat tentangan sengit khususnya daripada UMNO. Peluang di Johor tetap ada, Insya-Allah kita mampu.
“Pengundi juga diseru agar membuat keputusan bijak dalam memilih pemimpin dalam PRN Johor nanti,” katanya. – UTUSAN










