BUKIT MERTAJAM: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan supaya tidak ‘melampaui batas’ dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya ketika blok pembangkang sedang menyusun strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, adalah lebih baik sekiranya Ahli Parlimen Muar itu lebih memfokuskan kepada usaha untuk menentang ‘lawan’, bukannya ‘kawan’ ketika ini.
Menurut Fahmi, kenyataan seperti tidak dapat mengelakkan jika terjadinya pertembungan antara parti Muda dengan PKR tidak boleh diterima kerana kerjasama antara blok pembangkang lain pada awalnya dipersetujui untuk mengelakkan berlakunya pertembungan sesama sendiri.
“Dalam hal ini, mereka (Muda) juga ‘menumpang’ dan tidak ada dalam blok rasmi Pakatan Harapan (PH). Oleh itu, mengeluarkan kenyataan seperti ini seolah-olah sengaja ‘membakar api dalam selimut’.
“Siapa lawan sebenar mereka? Adakah PKR atau Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN)? Mengapa Syed Saddiq sengaja ‘menyemarakkan api’ dalam khemah blok Pakatan Harapan (PH)? Adakah ini misi utama beliau?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Fahmi, sebagai sebuah parti yang baru sahaja ditubuhkan kira-kira empat bulan lalu, kemampuan Muda belum betul-betul teruji.
Sehubungan itu, katanya, tiga kerusi telah ditawarkan kepada parti itu hasil perbincangan bersama pemimpin PH iaitu Senggarang; Sri Medan dan Tanjung Surat, namun, tawaran tersebut ditolak mentah-mentah oleh Muda.
“Jika benar Syed Saddiq ingin menyatukan blok pembangkang, beliau akan berlapang dada dan menerima sahaja kerusi yang ditawarkan oleh PKR, bukannya bersifat tamak.
“Isunya ialah bukan parti mana yang punya banyak kerusi dalam blok pembangkang, tetapi, apa motif sebenar mereka (Muda) yang dilihat sengaja melaga-lagakan parti pembangkang,” ujarnya.
Tambah Fahmi, bertanding dalam pilihan raya bukanlah semata-mata bertujuan untuk menunjukkan parti mana paling kuat, tetapi untuk menyelamatkan rakyat daripada ditindas oleh pemerintah yang zalim dan korup.
Terdahulu, Syed Saddiq dalam kenyataannya mendakwa, rundingan kerjasama politik antara Muda dan PKR sempena PRN Johor gagal mencapai kata sepakat disebabkan PKR telah mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diserahkan kepada parti itu oleh Pakatan Harapan (PH). –UTUSAN ONLINE