PPM rampas lima ekor pelanduk disembelih - Utusan Malaysia

PPM rampas lima ekor pelanduk disembelih

ANGGOTA PPM menunjukkan lima ekor pelanduk disembelih yang dirampas di Pantai Selat Panchor, Langkawi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM)  berjaya merampas lima ekor pelanduk dan pukat yang dipercayai digunakan untuk menangkap haiwan tersebut di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kasim berkata, anggotanya mengesan kelibat dua orang lelaki berkelakuan mencurigakan di pesisir Pantai Selat Panchor di sini pada pukul 7.15 petang semalam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tersebut yang  menyedari kehadiran anggota PPM kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Lelaki tersebut meninggalkan satu bungkusan plastik berwarna merah dan satu guni berwarna putih.

“Hasil pemeriksaan didapati lima ekor haiwan disyaki pelanduk dalam keadaan telah disembelih dan kaki diikat bersama satu unit pukat dipercayai digunakan untuk menjerat haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, nilai rampasan tersebut  dianggarkan berjumlah kira-kira  RM900.

Tambahnya, pihaknya kemudian menyerahkan  hasil rampasan itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Langkawi untuk tindakan lanjut. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 60(1)a Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti memburu atau memiliki hidupan liar perlu mendapatkan lesen atau kebenaran Perhilitan.

Jelasnya, aktiviti itu dilarang di pulau ini kerana Langkawi diiktiraf sebagai kawasan dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN