PM arah agensi kerajaan bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

PM arah agensi kerajaan bantu mangsa banjir

Anggota Bomba dan Penyelamat antara yang digerakkan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pelbagai agensi kerajaan menggerakkan operasi menyelamat mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu yang mencecah 11,736 orang semalam.

Perdana Menteri juga mahu mangsa banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

“Sejak semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (JPAM) telah dikerahkan bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses evakuasi mangsa berjalan lancar. ATM melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diatur gerak membantu mangsa di kedua-dua negeri.

“Kepada mangsa banjir, ikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, beliau juga akan memastikan bekalan makanan mencukupi untuk semua mangsa yang ditempatkan di PPS.

“Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk memastikan kit makanan mencukupi di PPS selain Kementerian Kesihatan turut membantu dalam memastikan pencegahan penularan Covid-19 dilaksanakan di pusat pemindahan.

“Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi Perak, Kelantan dan Terengganu.Menerusi ciapan di akaun rasminya di semua laman sosial, MetMalaysia menjelaskan cuaca buruk dijangka melanda daerah Hulu Perak, Perak; daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya