PUTRAJAYA: Amalan nilai S.W.I.F.T yang merujuk kepada ‘kelajuan, pengetahuan kelas dunia, menginspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi’ perlu diterapkan dalam setiap pelaksanaan inisiatif kerajaan sepanjang tahun ini dan akan datang.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, bagi nilai ‘kelajuan’, semua penjawat awam perlu bertindak dan membuat keputusan dengan pantas dalam sesuatu urusan demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.
“Sebagai contoh apabila saya dilantik sebagai pengerusi Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir, saya tanpa lengah terus memanggil semua jabatan dan agensi yang berkaitan untuk selesaikan masalah.
“Setiap agensi Persekutuan, negeri dan daerah termasuk Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat kawasan digerakkan dengan pantas. Kita bekerja tanpa mengira hari minggu atau hari bekerja, siang dan malam bagi memastikan tiada nyawa terancam serta kehidupan mangsa bencana dapat dibantu dan dipermudahkan,” katanya berucap pada Majlis Amanat KSN Tahun 2022 di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu menerapkan nilai ‘pengetahuan kelas dunia’ dalam diri setiap penjawat awam agar tidak lagi melaksanakan tugas sekadar yang dimahukan atau ‘syok sendiri’, tetapi mula melihat praktis terbaik negara luar yang boleh dijadikan tanda aras untuk melaksanakan sesuatu perkara.
“Sepertimana inisiatif kerajaan untuk memantapkan ekosistem pembangunan vaksin negara dengan melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI). Melalui pelaksanaan PPVN, Malaysia mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
“Usaha seperti ini merupakan pencapaian bersifat ‘kelas dunia’ di mana kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara maju lain dalam usaha penghasilan vaksin, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada vaksin yang diimport dari negara luar kelak,” jelasnya.
Mohd. Zuki berkata, bagi memupuk nilai-nilai positif dalam perkhidmatan awam, nilai ‘menginspirasi’ perlu dititikberatkan semua penjawat awam, justeru penting untuk semua ketua setiausaha dan ketua jabatan memberi inspirasi kepada pegawai bawahannya.
Katanya, beliau juga mengajak setiap penjawat awam meneruskan nilai ‘fleksibel’ iaitu tidak terlalu ‘rigid’ (tegar) kepada dasar dan peraturan dengan mengutamakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terutamanya dalam situasi genting.
“Sebagai contoh, kerajaan buat pertama kalinya menyediakan tiga alternatif semasa agihan bantuan kepada mangsa banjir baru-baru ini iaitu sama ada dibuat secara tunai di PKOB, serahan tunai dari rumah ke rumah atau pemindahan tunai secara atas talian (EFT).
Mereka tidak perlu mengisi apa-apa borang permohonan sekali pun pada saat sukar tersebut.
“Saya perhatikan di laman-laman sosial, rata-rata rakyat memuji pendekatan ini di mana mereka terus memperoleh bantuan tanpa perlu melalui pelbagai karenah birokrasi yang mengikat serta merenyahkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai nilai ‘berasaskan teknologi’, beliau berkata, ia perlu dilihat sebagai bersifat wajib dan mesti ada dalam melaksanakan setiap tugasan di pejabat dengan penggunaan teknologi amat kritikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan pantas dan tuntas.
“Apabila Covid-19 melanda, kerajaan terus memperkenalkan penggunaan MySejahtera bagi menguruskan agihan vaksin dan kaedah interaksi langsung dengan rakyat. Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan perkhidmatan end to end (E2E) kerajaan pada tahun 2025 mestilah mencapai 80 peratus.
“Oleh itu, semua ketua jabatan perlu memastikan hasrat ini tercapai dan juga melihat sistem dan proses kerja lain yang boleh diautomasikan. Usaha ini selari dengan inisiatif di bawah MyDIGITAL merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” jelasnya. –UTUSAN