Pelancong Barat teruja kasut mereka 'dipamerkan' di TGH - Utusan Malaysia

Pelancong Barat teruja kasut mereka ‘dipamerkan’ di TGH

NORHASIYATI Taharin membersihkan kasut tinggalan pelancong Barat yang dijadikan bekas bunga di pusat inap Tahan Guest House (TGH) Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Biasanya sesuatu barang yang lusuh dan rosak sudah tentu dibuang, tetapi tidak bagi pusat inap Tahan Guest House (TGH) di Kuala Tahan dekat sini apabila menyimpan semua kasut yang ditinggalkan pelancong khususnya dari Barat untuk dijadikan bekas bunga atau flower pot.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik TGH, Norhasiyati Taharin berkata, kebanyakan pelancong Barat yang menginap di situ sebelum penularan Covid-19 dua tahun lalu akan meninggalkan kasut mereka apabila keluar dari pusat inap tersebut.

“Kasut yang digunakan untuk ‘trekking’ di denai hutan tropika Taman Negara dan mendaki Gunung Tahan biasanya daripada jenama yang mahal.

“Pelancong akan meninggalkan kasut yang dipenuhi lumpur dan sedikit terkoyak selepas trekking di hutan malah setengahnya menghadiahkan kepada saya sebagai kenangan,” katanya di Kuala Tahan di sini semalam.

Norhasiyati yang membuka pusat inap TGH sejak 24 tahun lalu berkata, pada mulanya dia juga buntu dan tidak tahu hendak buat apa terhadap longgokan kasut yang kotor dipenuhi lumpur itu.

“Akhirnya saya mendapat satu idea untuk menjadikan kasut trekking ini sebagai bekas bunga sesuai bagi hiasan landskap hadapan pusat inap ini.

“Dengan bantuan suami, Abd. Hamid Hassan, kami membersihkan kasut berkenaan dan dicat semula bagi yang lusuh warnanya serta mengekalkan warna yang asal mana-mana yang masih sempurna lalu dimasukkan tanah serta benih pokok bunga,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak yang berusia antara 14 hingga 22 tahun itu berkata, kasut yang mewakili negara pelancong seperti Itali, Jerman, Belanda, England, Amerika Syarikat, Asia dan negara Eropah lain disusun berderetan di sepanjang laluan masuk ke TGH.

“Saya tidak menyangka idea kreatif ini berhasil apabila halaman TGH ini ceria dan ramai pengunjung yang singgah di sini teruja dan menghargai usaha kami.

“Ada kasut diperbuat daripada kulit dan kanvas tebal sudah menghampiri usia 15 tahun, tetapi masih elok walaupun bersilih ganti ditanam bunga baharu,” katanya.

Wanita gigih itu berkata, kebanyakan pelancong Barat yang pernah singgah di TGH dan beberapa tahun kemudian datang semula ke Taman Negara (sebelum 2019) berasa terkejut serta teruja apabila kasut tinggalan mereka ‘dipamerkan’ sebagai bekas bunga.

“Saya mendapat tahu pelancong itu mencoretkan hasil usaha saya disertakan dengan gambar kasut mereka di laman sosial Facebook dan Instagram untuk tatapan rakan mereka dari seluruh dunia.

“Inilah satu cara saya bagi memperkenalkan TGH serta pusat inap desa lain milik pengusaha Bumiputera di sini selain mendekatkan Taman Negara Kuala Tahan ‘di hati’ pelancong seluruh dunia setiap masa,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN