KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkias mahukan semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang untuk mengutamakan rakyat dan tolak tepi berpolitik.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 itu menjadi suasana girang apabila baginda menasihati supaya semua ahli Parlimen bekerjasama untuk membangunkan negara menerusi dua pantun dua kerat.
“Gunung Kinabalu sama didaki, sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati, kerja yang susah menjadi senang.
“Busana tradisi kain bersulam, warnanya jingga berawan larat,
“Cukuplah berpolitik siang dan malam, fokuskan menjaga kepentingan rakyat.”
Baginda meneruskan tradisi sejak penggal lalu iaitu dengan menyampaikan pantun bagi menutup Istiadat Pembukaan Persidangan Parlimen. –UTUSAN ONLINE