JERANTUT: Orang Asli etnik Bateq di beberapa penempatan di pesisir Sungai Tembeling dekat Taman Negara Kuala Tahan masih berdepan kesukaran hidup kesan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Penduduk minoriti tersebut kerap mengalami putus bekalan barang keperluan dapur kerana ketua keluarga yang bekerja di sektor ekopelancongan Taman Negara kehilangan punca pendapatan dalam tempoh berkenaan.
Kekurangan pendapatan dan beban perbelanjaan dihadapi mereka bersilih ganti apabila musim tengkujuh melanda setiap kali penghujung dan awal tahun menyebabkan masyarakat berkenaan terbantut untuk mencari rezeki.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Orang Asli Kampung Dedari, Kapak Galong, 40, berkata, ancaman pandemik Covid-19 menyebabkan ketiadaan pengunjung hadir ke perkampungan Orang Asli etnik Bateq untuk melihat demonstrasi aktiviti ‘survival hutan’ dan kesenian penduduk.
Katanya, mereka juga berdepan ketiadaan lagi kawasan ‘rayau’ untuk ‘survival’ mencari sumber makanan.
“Sekiranya tidak ada pengunjung, kami tidak berduit untuk membeli barang keperluan dapur dan tembakau.
“Penduduk Orang Asli di sini berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Birds Group Taman Negara (BGTN) yang kerap datang membawa barang keperluan dapur apabila kami terputus bekalan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim berkata, sebelum pandemik Covid-19 dua tahun lalu dan musim tengkujuh hujung tahun lalu, boleh dikatakan saban hari, pelancong Barat dan domestik hadir menyaksikan acara survival dan kesenian di Kampung Dedari di pesisir Sungai Tembeling.
“Senario ini berubah selepas ancaman pandemik Covid-19 dan berurutan kerap berlaku musim tengkujuh menyebabkan segelintir sahaja pengunjung melawat kawasan penempatan Orang Asli di sini.
“Hal ini menyebabkan mereka kurang pendapatan serta berlaku putus bekalan keperluan dapur dan apabila mereka berdepan senario ini, BGTN bersimpati untuk membantu kaum minoriti merupakan penduduk asal di sini dengan memberikan bantuan barang keperluan dapur dan tembakau,” katanya.
Roslan mengetuai sukarelawan BGTN dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghantar bantuan barang keperluan dapur kepada 30 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli etnik Bateq di Kampung Dedari, di sini. –UTUSAN ONLINE