RANTAU PANJANG: Pasangan yang ingin bernikah di Golok, namun, terhalang kerana pintu sempadan negara masih ditutup kini dikatakan sudah mempunyai kaedah alternatif bagi menyelesaikan masalah itu.
Kaedah alternatif dimaksudkan itu ialah bersekongkol dengan mana-mana pihak yang sanggup membawa juru nikah atau tok kadi bersama wali angkat ‘import’ dari Thailand masuk ke Kelantan.
Bagaimanapun, cara tersebut dikatakan agak mahal iaitu RM5,000 ke atas berbanding cara biasa iaitu pengantin yang perlu curi-curi masuk ke Thailand dengan kos sekitar RM1,600 bagi setiap pasangan.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, ejen nikah Siam yang enggan namanya disiarkan memberitahu, taktik tersebut lebih selamat kerana pasangan pengantin tidak perlu merentas sempadan negara.
“Cuma cara ini mahal berbanding biasa kerana tidak semua tok kadi dan wali angkat sanggup merisikokan diri untuk masuk secara tidak sah ke Malaysia untuk menikahkan mana-mana pasangan.
“Kalau guna cara ini, kosnya sekitar RM5,000 ke atas kerana perlu membayar upah tok kadi dan wali angkat yang diimport, selain kos untuk uruskan dokumen dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata ejen itu lagi, setakat ini, kaedah itu belum begitu popular dan hanya pasangan yang benar-benar terdesak sahaja memilih untuk ‘mengimport’ masuk tok kadi dan wali angkat dari Thailand.
Difahamkan, bagi mengelak kegiatan mereka masuk ke negara ini secara haram dikesan pihak berkuasa, Tok kadi dan wali import terbabit tidak akan menetap di hotel, sebaliknya akan tinggal di rumah saudara-mara atau inap desa.
Sementara itu, seorang lagi ejen nikah Siam berkata, selepas Kelantan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bulan lalu, permintaan untuk bernikah di Thailand kian rancak dari hari ke hari.
Katanya, sepanjang tahun lepas, dalam sebulan dia menguruskan kira-kira 10 pasangan yang ingin bernikah di Thailand manakala sejak awal tahun ini, sudah 50 pasangan menggunakan khidmatnya untuk bernikah di sana.
“Sebelum ini, setiap pasangan dikenakan bayaran sebanyak RM1,600, sekarang kosnya sudah meningkat kepada RM3,000 setiap pasangan.
“Kebanyakan pasangan pengantin akan menaiki perahu masuk ke Thailand pada waktu malam atau Subuh. Selepas bernikah, mereka tinggal di sana beberapa hari untuk berbulan madu sebelum balik ke Malaysia,” katanya. –UTUSAN ONLINE