JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menghormati hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu menyokong PKR di kerusi pertembungan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hubungan pihaknya dengan Pakatan Harapan (PH) tetap erat meskipun terpaksa ‘melanggar’ kerusi berkenaan yang sama ditandingi PKR.
Beliau menjelaskan, mana-mana pihak berhak bertanding dalam sebuah negara demokrasi dan kini terserah kepada rakyat untuk memilih calon sesuai menjadi wakil rakyat.
“Kita hormati demokrasi dan keputusan telah dibuat, terserah kepada rakyat. Saya berharap rakyat dapat beri peluang kepada saudara Rasid yang merupakan anak jati tempatan Johor Baharu malah dikenali pengundi.
“Muda tetap mahu perubahan di Johor tidak kira sebagai kerajaan atau pembangkang selepas keputusan pilihan raya, kita mahu buktikan calon kita berwibawa dan profesional. Jika diberikan peluang, kita mahu tonjolkan Muda mengamalkan politik khidmat dan menjadi pasukan terbaik sentiasa membela rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.
Kelmarin, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya menyokong calon PKR dalam pertembungannya dengan parti pimpinan Syed Saddiq pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Muda, Rasid Abu Bakar sah bertembung dengan wakil daripada PKR, Dr Zamil Najwah Arbain di kerusi DUN Larkin selepas diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.
Selain Rasid dan Zamil, empat lagi calon ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah mewakili Barisan Nasional (BN), Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang) dan seorang calon Bebas, Norramadan Buan. – UTUSAN









