Mogok Suara PPP Kontrak hangat di media sosial - Utusan Malaysia

Mogok Suara PPP Kontrak hangat di media sosial

MOGOK Suara PPP Kontrak turut mendapat sokongan melibatkan kakitangan perubatan yang bersolidariti dengan nasib menimpa mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun tiada demonstrasi tunjuk perasaan dan mogok besar-besaran dilakukan oleh kumpulan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) lantikan kontrak,, namun, solidariti dan semangat tunjuk perasaan memperjuangkan nasib mereka hangat berlangsung di media sosial.

Tinjauan di Utusan Malaysia mendapati, siri mogok menggunakan tanda pagar #suarapppkontrak mendapat sokongan padu bukan sahaja melibatkan warga PPP sahaja, tetapi juga melibatkan kakitangan kesihatan lain seperti pegawai perubatan yang simpati dengan nasib menimpa mereka.

Seorang pengguna Facebook bernama Mawar Berduri berkata, sekali pun tiada demonstrasi, tunjuk perasaan dan mogok terbuka dilakukan oleh PPP lantikan swasta dan Kementerian Kesihatan, namun mereka mampu melakukan melalui hantaran status di media sosial Facebook dan Instagram.

Katanya, pihaknya berbuat demikian kerana ingin menjadi contoh buat masyarakat dan profesion lain dalam melahirkan bersolidariti kerana masih berpegang dan patuh pada SOP kerajaan Malaysia.

“Alhamdulillah, sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada kalangan PPP senior, PPK (pembantu perawatan kesihatan) dan HO (pegawai perubatan) khas buat PPP kontrak lantikan kerajaan dan swasta kerana mereka tahu penat lelah bersama-sama di dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan PPP juga akan mengadakan siri tunjuk perasaan bagi memperjuangkan lantikan mereka, di samping beberapa manfaat lain tidak diperoleh kerana berstatus ‘kontrak’.

Mendedahkan kepada akhbar ini, salah seorang PPP kontrak yang enggan dikenali berkata, kebanyakan daripada mereka akan menamatkan perkhidmatan kontrak hari ini.

Nada sama juga disampaikan oleh seorang PPP dikenali Din Dressar apabila dia mengharapkan dan rakan sekerja lain agar dilantik ke jawatan tetap dengan sesegera mungkin.

Katanya, sebagai salah satu tulang belakang petugas kesihatan, pihaknya lebih menonjol dan ke hadapan dalam menguruskan kes berkaitan Covid-19 kerana mempunyai semangat juang yang tinggi.

“Tetapi tidak bagi kami adik PPP lantikan kontrak ini. Kami ditawarkan ke lantikan kontrak ini dan terus masuk kerja dan menghadapi suasana perang melawan Covid-19,” katanya.

Menerusi data diberikan oleh sumber, sejumlah 4,300 penolong pegawai perubatan telah direkrut kerajaan sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2018, menyaksikan 3,400 tajaan Kementerian Kesihatan dan 900 lagi dilantik daripada kolej-kolej swasta.

Khidmat kontrak PPP terbahagi kepada lapan fasa, menyaksikan Fasa 1 sudah diserap secara tetap, Fasa 2 dan Fasa 3 ada yang dilanjutkan dan ditamatkan perkhidmatan manakala Fasa 4 ke atas turut terjejas kerana ada yang akan menamatkan kontrak Mac ini.

Bagaimanapun di dalam perkara 12 syarat-syarat pelantikan perkhidmatan kontrak pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Paramedik dan Auksiliari Gred UD29 menyatakan, kerajaan tidak wajib melantik pegawai ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam dan sebarang permohonan bagi maksud lantikan tetap perlu dibuat terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN