Melaka kenal pasti lokasi pemasangan EV - Utusan Malaysia

Melaka kenal pasti lokasi pemasangan EV

AB. RAUF Yusoh bercakap kepada pemberita selepas Persidangan DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa kawasan baharu berdasarkan garis panduan yang diberikan para pelabur untuk dijadikan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) yang pertama di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pihaknya sedang menunggu prosedur daripada kerajaan Pusat terutamanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi membuka kilang pemasangan berkenaan.

Jelas beliau, ini kerana Malaysia masih belum mempunyai kilang pemasangan EV, maka, sebab itulah ia memerlukan garis panduan baharu.

“Di samping itu, para pelabur juga boleh mendapat insentif-insentif daripada kerajaan Pusat berdasarkan garis panduan sebelum ini. 

“Kerajaan negeri di bawah portfolio saya sedang mengenal pasti kawasan baharu dan meneliti semua dapatan hasil kajian yang diperlukan oleh syarikat-syarikat yang berminat bagi membuka kilang di negeri ini.

“Insya-Allah, ia akan mengambil masa sedikit kerana memerlukan kawasan yang luas serta kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan, beberapa syarikat antarabangsa dari China menunjukkan minat untuk menjadikan negeri ini sebagai hab pemasangan EV pertama negara dan dijangka memulakan operasi suku ketiga 2024.

Tambah Ab. Rauf, setakat ini terdapat tiga syarikat yang telah menunjukkan minat untuk membina kilang pemasangan EV di Melaka.

Katanya, selain syarikat automotif terkemuka China iaitu Changan Automobile Corporation (Changan), dua syarikat lagi adalah pengeluar EV untuk e-hailing dan bas elektrik.

“Kita cuba menjadi yang pertama dalam pembinaan kilang ini dan saya bertanggungjawab untuk merealisasikan perkara itu. Jika mereka memilih Melaka, maka, itu adalah keputusan yang tepat.

“Saya percaya dengan terbinanya kilang itu nanti, ia akan memberikan pulangan kepada rakyat sekali gus menyediakan pekerjaan dalam industri kereta masa depan ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya