KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal sembilan anak dari Rantau Panjang mengakui menjalani kehidupan berliku, gara-gara terjebak bernikah dengan bekas suami tanpa melalui saluran yang sah di Thailand.
Masa depan dia bersama anak-anak menjadi gelap apabila bekas suaminya bersikap sambil lewa dan gagal mendaftarkan perkahwinan selama bertahun-tahun sehinggalah mereka akhirnya bercerai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wanita berusia 47 tahun itu berkata, mereka bernikah di selatan Thailand pada tahun 1996 kerana beranggapan prosedur bernikah di sana lebih mudah dan ringkas berbanding di Malaysia.
“Selepas balik ke Malaysia, suami ada buat laporan kami bernikah di Thailand, tetapi, apabila dipanggil ke pejabat agama, dia enggan pergi. Jadi, pernikahan kami gagal didaftarkan sampai anak-anak besar.
“Bahana tak daftar nikah, anak kami tidak ada surat beranak sampai saya terpaksa menagih ihsan banyak pihak supaya benarkan anak-anak belajar di sekolah kerajaan. Suami kerja buruh mana mampu nak hantar sekolah swasta,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bercerita lanjut, wanita itu berkata, selepas berpisah dengan suami, dia nekad mendapatkan taraf warganegara untuk anak-anaknya dan usaha itu berhasil selepas berjuang selama kira-kira 10 tahun.
“Peritnya tidak terkata apabila anak-anak tidak ada dokumen pengenalan diri berpuluh tahun. Nasihat saya, kalau nikah di Thailand pastikan kita daftar cepat-cepat untuk elak masalah masa depan anak gelap,” katanya.
Seorang kontraktor mahu dikenali sebagai Shafien, 59, pula sebaliknya apabila memutuskan untuk tidak mendaftarkan pernikahannya dengan isteri kedua walaupun sudah bertahun-tahun hidup bersama.
Alasannya kata lelaki itu, mereka tidak ada keperluan berbuat demikian kerana tidak pernah dikurniakan cahaya mata.
“Saya nekad merentas Sungai Golok bersama pasangan untuk bernikah di Narathiwat beberapa tahun lalu bagi mengelak perkara itu diketahui isteri pertama.
“Selepas bernikah dengan isteri kedua yang merupakan seorang janda anak tiga, kami memutuskan untuk tidak mendaftarkan perkahwinan itu dengan pihak berkuasa agama negeri,” katanya. –UTUSAN ONLINE