Malaysia sasar pelaburan RM350 juta di Expo Dubai 2020 - Utusan Malaysia

Malaysia sasar pelaburan RM350 juta di Expo Dubai 2020

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan pelaburan bernilai RM350 juta pada Minggu Pertanian Lestari di Expo Dubai 2020 Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran itu sepanjang penganjuran diadakan di Pavilion Malaysia selama enam hari dari 21 Februari akan datang.

“Kami giat berusaha keras dengan memupuk hubungan dan perkongsian strategik bersama para pemain global terutama UAE dan pelbagai negara dari rantau Asia Barat,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, beliau melawat pameran Road to Expo Dubai 2020 selepas menyertai sesi Dialog Industri Agromakanan dan melancarkan portal MyAgro Trade di Wisma Tani, di sini semalam.

Ia dianjurkan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia ditubuhkan pada 2005 sebagai agensi milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Selepas itu,  ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sejak 2018 bagi membantu komuniti industri bisnes dan akademik yang berasaskan bioteknologi.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pihaknya akan mengadakan sesi pertukaran 11 dokumen memorandum persefahaman di samping 50 potensi perniagaan pada acara minggu tersebut.

“Sejumlah 20 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan selain jabatan serta agensi kementerian juga akan terlibat dengan dijangka menarik lebih 2,000 pelawat,” tambahnya lagi.

Minggu itu, ujarnya, memberi peluang unik bagi menampilkan imej amalan pertanian terbaik, inovasi pintar dan kekayaan sumber asli Malaysia yang menyumbang keselamatan makanan.

Beliau bahkan berharap, ekspo terbesar di dunia itu menjadi wadah peluang peningkatan hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan UAE melalui pembangunan pertanian lestari.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk pameran, pelancaran produk, pertukaran dokumen, demonstrasi masakan, koktel jaringan, padanan perniagaan dan ceramah poket.

Program itu juga disusun berdasarkan lapan bidang tumpuan kekuatan Malaysia antaranya kesejahteraan biodiversiti, buah tropika, pertanian bandar pintar dan kelestarian pertanian.   

“Saya optimis penganjuran minggu itu menyerlahkan sumbangan Malaysia kepada penjanaan kekayaan pertanian, perlindungan alam sekitar dan pencarian yang mampan,” tegas Ronald. –UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini