KANGAR : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan zakat sebanyak RM7,257,000 untuk bantuan persekolahan 2022.
Jumlah yang disalurkan itu lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini iaitu sebanyak RM4,333,000.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agihan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 12,095 orang pelajar merangkumi 6,713 pelajar sekolah rendah dan 5,382 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri ini.
“Jumlah berkenaan tidak termasuk penerima dalam kalangan pelajar sekolah agama rakyat yang akan turut disalurkan bantuan secara berasingan,” titah baginda selepas berkenan berangkat merasmikan majlis penyampaian bantuan persekolahan MAIPs 2022 di
Dewan Serbaguna, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan negeri, Padang Behor di sini hari ini.
Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ialah Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin, setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM600 yang bakal disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 111 buah sekolah seluruh Perlis.
“Ia merangkumi bantuan berupa pembelian pakaian sekolah dan alat tulis bernilai RM200 yang akan diuruskan oleh pihak sekolah iaitu Muraqib Amil. Sebanyak RM300 pula untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh pengurusan sekolah melalui kerjasama PIBG dengan saranan oleh pihak JPN Perlis.
“Selain itu ialah RM100 sumbangan tunai. Program berkenaan perlulah untuk manfaat kepada pelajar yang terlibat sahaja,” titah baginda.
Pada kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menitahkan ucapan terima kasih kepada pengurusan sekolah, barisan guru serta PIBG seluruh negeri yang turut sama menjayakan proses mengenalpasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih itu. -UTUSAN ONLINE