Kutipan zakat meningkat di Kedah - Utusan Malaysia

Kutipan zakat meningkat di Kedah

SYEIKH Zakaria Othman (dua dari kiri) dan Syeikh Fadzil Awang (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Jaffri Ahmad (kanan) pada Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi 2021 di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kutipan zakat di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM14 juta pada tahun lalu berbanding tahun 2020 di sebalik kelembapan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, kutipan zakat bagi tahun lepas adalah sebanyak RM242 juta dengan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 2020.

“Kutipan zakat 2021 ada peningkatan sebanyak RM14 juta tahun lalu walaupun kita sasar sebanyak RM244 juta, namun, kita dapat RM242 juta. Walaupun tak sampai sasaran RM2 juta tetapi ada kenaikan.

“Peningkatan zakat ini disumbang daripada zakat pendapatan sementara zakat perniagaan mencatatkan penurunan sebanyak RM500,000 kerana ada beberapa syarikat besar yang menjadi penyumbang utama mengalami kerugian tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Makan Percuma (RMP) dan Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi 2021 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Turut hadir Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Mazlina Kamarudin.

Pada majlis tersebut, syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam itu menyerahkan zakat sebanyak RM370,000 kepada LZNK iaitu meningkat daripada RM303,000 tahun lepas.

Mengulas lanjut, Syeikh Zakaria tidak menafikan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun lepas ekoran pandemik mengakibatkan beberapa syarikat besar di negeri ini gagal mengeluarkan zakat seperti biasa.

“Ada syarikat yang tidak boleh beroperasi kerana PKP dan mengalami kerugian. Tahun ini kita berharap ekonomi semakin pulih dan kutipan zakat mencapai sasaran. 

“LZNK menyasarkan kutipan zakat tahun ini adalah sebanyak RM250 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN