MARAN: Kontraktor penyelamat yang mempunyai rekod cemerlang dan bermodal kukuh akan mengambil alih projek-projek perumahan yang ‘sakit’ dan tidak mampu diteruskan.
Ini ditegaskan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berikutan isu kelewatan projek perumahan di negara ini.
Menurutnya, rekod Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terkini, seramai 6,685 pembeli rumah dalam pembinaan telah mula membuat pembayaran kepada pihak bank.
“Isu projek perumahan yang lambat disiapkan termasuk dua projek di daerah Maran iaitu di bandar Maran dan Chenor perlu diatasi segera.
“Kementerian memberikan tempoh selama sebulan lagi (projek di daerah Maran) untuk menyiapkan projek itu yang dianggap sebagai projek ‘sakit’ yang mencolok mata,” katanya kepada pemberita selepas menyampai peralatan sekolah sempena program ‘ kembali ke sekolah’ kepada 1,074 penerima dari keluarga golongan B40 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor di Dewan Terbuka Chenor di sini hari ini.
Ismail berkata, kontraktor penyelamat terpilih akan menyambung projek perumahan di Maran dan Chenor sekiranya kontraktor asal masih gagal menyiapkan projek yang diamanahkan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menyokong kelestarian Bukit Makro di Maran dipelihara dan dipertahankan daripada aktiviti penerokaan hutan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, bukit Makro berpotensi dijadikan pusat rekreasi dan riadah popular dalam kalangan penduduk Maran dan luar daerah ini.
Menurutnya, penerokaan di kawasan itu hanya akan membawa musibah seperti banjir lumpur kepada beberapa taman perumahan dan bandar Maran dalam musim tengkujuh dan hujan lebat.
Tambah beliau, sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas di Bukit Makro.
“Pengunjung bukan sahaja dapat menjalankan aktiviti pendakian secara berjalan kaki, tetapi, juga dapat mengabadikan gambar di lokasi yang disediakan,” katanya. –UTUSAN ONLINE