GEORGETOWN: Kombinasi calon muda dan berpengalaman merupakan ramuan yang perlu diutamakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika parti itu ingin menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Veteran politik UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, kombinasi itu perlu seimbang supaya UMNO dilihat sebagai parti yang mendengar suara dan relevan dengan selera orang muda.
“Dalam mana-mana pilihan raya, gandingan calon muda dan mereka yang matang serta punya pengalaman dalam parti serta pentadbiran negeri adalah ramuan yang perlu ditekankan untuk menang dalam pilihan raya.
“Jadi, UMNO perlu mendengar kehendak pengundi, saya kira gandingan 30 hingga 40 peratus orang muda sebagai calon dalam PRN Johor adalah sesuai untuk diketengahkan kali ini untuk UMNO menang dengan selesa nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu.
Menurut Mohd Yussof, UMNO Johor juga dinasihatkan tidak mengetengahkan calon ‘payung terjun’ bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli parti ketika pilihan raya berkenaan. – UTUSAN