KUANTAN: Kerajaan negeri membuka lembaran baharu dalam usaha melonjakkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri dengan memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM5.5 bilion.
Perjanjian itu dimeterai antara Badan Berkanun Negeri Pahang dengan syarikat-syarikat pelabur luar negara iaitu dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan di Johor Bahru, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, enam projek pelaburan akan dilaksanakan iaitu pertama, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Ciptaan Gabungan Global Sdn. Bhd. (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura, melibatkan Projek Kilang Pengeluaran Aloi Mangan, berkeluasan 40.46 hektar di Gebeng, di sini dengan nilai pelaburan RM1 bilion.
Beliau berkata, projek pelaburan kedua antara PSK dengan Golden Sea Farm (M) Sdn. Bhd. dari Thailand, melibatkan Projek Taman Akuakultur Penternakan Udang, berkeluasan 64.74 hektar di Rompin, dengan nilai pelaburan RM40 juta.
“Ketiga melibatkan PSK dengan BAF Aqua Sdn. Bhd. (BAF Pte Ltd) dari Thailand, melibatkan Projek Ternakan Udang dan Ikan Berteknologi Tinggi, berkeluasan 52.60 hektar di Rompin, dengan nilai pelaburan RM105 juta..
“Projek pelaburan keempat melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan IBN Lovocean Sdn. Bhd. (South Ocean Development LLP) dari Singapura, melibatkan Projek Pelancongan Rompin Eco Tourism Park, berkeluasan 93.48 hektar di Sempadan Rompin-Pekan, dengan nilai pelaburan RM90 juta.
“Kelima membabitkan Pahang Go Sdn. Bhd. dengan M-Trip Sdn. Bhd. dari China, melibatkan Projek Aplikasi Mudah Alih Bagi Pelancongan di Pahang dengan nilai pelaburan RM66 juta dan keenam antara TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dengan Pekan Power Plant Sdn. Bhd. dari Korea, melibatkan Cadangan Pembangunan Janakuasa Elektrik 1,200MW, berkeluasan 40.46 hektar di Tanjung Agas, Pekan, dengan nilai pelaburan RM4.21 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, perjanjian pelaburan ini bukan sahaja mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor di Pahang, tetapi juga berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya anak muda.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.8 bilion melibatkan RM987 juta pelaburan domestik, dan RM9.8 bilion daripada pelaburan antarabangsa.
“Bagi tahun ini, kerajaan negeri menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) Pelaburan Pahang bernilai RM18 bilion. KPI ini sememangnya mampu dicapai kerana berdasarkan maklumat terkini, potensi pelaburan di bawah seliaan Unit Antarabangsa ketika ini adalah dianggarkan bernilai RM45.7 bilion.
“Jumlah RM45.7 bilion ini melibatkan 20 projek pelaburan langsung domestik (DDI) dan 42 projek pelaburan langsung asing (FDI). Perincian 62 projek berpotensi ini melibatkan 33 projek dalam pra-rundingan; dua projek dalam rundingan; 18 projek telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), dan sembilan projek telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya.
Beliau berkata, projek-projek berpotensi ini melibatkan pelabur dari 10 negara iaitu China, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia.
“Sesungguhnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan negeri ini dapat dibangun dan dimajukan secara menyeluruh dan seimbang demi manfaat rakyat.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga komited menyediakan persekitaran yang kondusif serta kestabilan politik yang meyakinkan demi menarik minat pelabur untuk mengembangkan perniagaan dan menanam modal di negeri ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE