PASIR MAS: Suami kepada wanita hamil sembilan bulan yang maut dalam nahas dengan bayi lelakinya terkeluar daripada kandungan di Repek, di sini semalam bukan sengaja membiarkan mangsa menunggang motosikal sendiri ke kedai runcit.
Mangsa, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, sebaliknya berkeras untuk menunggang motosikal berasingan dengan suami yang membawa tiga lagi anak pergi membeli-belah bersama mereka.
Suaminya, Mohd. Khairi Hasbullah berkata, disebabkan perutnya ketika itu sudah sarat dan hanya menunggu masa untuk bersalin, arwah mengadu rasa tidak selesa jika mereka berlima menaiki satu motosikal.
Katanya, dia mempunyai sebuah kereta, namun memandangkan kedai runcit tersebut hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, mereka memilih untuk menunggang motosikal ke situ.
“Sebelum ini setiap kali keluar, saya bersama arwah dan tiga anak kami berusia 2, 6 dan 8 tahun memang naik motosikal bersama cuma semalam, arwah minta untuk menunggang motosikal berasingan.
“Sempit katanya kalau lima beranak naik motosikal, dengan perutnya yang semakin sarat. Jadi dia naik motosikal bersama anak perempuan berusia enam tahun dan saya pula bawa dua lagi anak kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol, di sini semalam..
Dalam nahas pada pukul 7 malam semalam, Nor Haliza yang hamil sembilan bulan maut dalam keadaan menyayat hati dengan anak yang bakal dilahirkan terkeluar daripada kandungan selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang pemuda.
Pemuda terbabit, Muhamad Shakim Mohd. Zaki, 18, turut meninggal dunia pukul 10.45 malam di Hospital Pasir Mas (HPM) disusuli bayi mangsa pada pukul 12 tengah malam. Seorang lagi anak mangsa, Nurul Iman Maisara, 6, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPM.
Bercerita lanjut kejadian itu, Mohd. Khairi berkata, ketika kejadian dia menunggang motosikal di depan manakala isterinya mengekori rapat di belakang sebelum sebuah motosikal ditunggang laju meluru dan termasuk ke laluan mereka.
“Saya sempat mengelak namun motosikal terbabit melanggar isteri dan anak saya sehingga mereka melambung ke tepi jalan. Saya sempat mengajar isteri mengucap dan dia juga sempat memohon maaf sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Saya kemudian memangku bayi kami yang terkeluar dari kandungan dan mendapati dia tidak bernafas sebelum berlari pulang ke rumah untuk mengambil kain. Apabila tiba semula di lokasi, orang ramai kata bayi saya masih hidup. Dia segera dibawa ke HPM untuk rawatan lanjut.
“Namun selepas lima jam bertarung nyawa, bayi yang sepatutnya bakal dinamakan Mohd. Arif Irfan disahkan meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN










