ANKARA, TURKI: Syarikat pertahanan, Turkish Aerospace Industries (TAI) sedia menerima pembayaran dalam bentuk komoditi bagi membekalkan pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet untuk keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TAI, Prof. Temel Kotil berkata, pembayaran menggunakan kaedah tersebut dapat membantu Malaysia meningkatkan hasil komoditi negara dan pihaknya sedia mengadakan perbincangan berkenaan perkara terbabit.
Beliau tanpa menamakan jenis komoditi berkata, TAI juga sedia menerima sebarang kaedah pembayaran daripada Malaysia dengan membabitkan beberapa peratus daripada jumlah keseluruhan kos perolehan.
“Kami fikir perkara yang lebih besar daripada isu pembayaran. Kami tiada masalah tentang perkara ini (pembayaran dalam bentuk komoditi). Bagi kami mudah iaitu perniagaan adalah perniagaan.
“Kami bersaing bukan dengan syarikat lain, tetapi kami bersaing dengan diri sendiri,” katanya kepada delegasi media Malaysia semasa lawatan di ibu pejabatnya di sini semalam.
Dalam lawatan tersebut, wakil media Malaysia turut dibawa melihat beberapa kemudahan lain melibatkan proses pembuatan pesawat Hurjet, F-16 dan TAK-129 Atak.
Sebagai rekod, antara pesawat yang memasuki tender bagi proses perolehan LCA TUDM antaranya FA-50, Yak-130, JF-17 dan Tejas.
Dalam pada itu, Temel berkata, TAI merancang melakukan proses pemasangan pesawat Hurjet di Malaysia sekiranya syarikat berkenaan berjaya memenangi tender terbabit.
Katanya, pesawat berkenaan dijangka dapat diserahkan kepada TUDM pada tahun 2025 dan Malaysia bakal menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat Hurjet yang kini dalam proses pembangunan sebaik semua proses perolehan berjalan lancar.
“Penerbangan pertama pesawat ini akan dilaksanakan pada Mac tahun depan,” ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama berkata, walaupun Hurjet masih belum mempunyai rekod penerbangan dan masih baharu, penggunaan teknologi terkini pada pesawat tersebut mampu melahirkan juruterbang yang berkemahiran serta berpengetahuan tinggi dalam penggunaan aset canggih pada masa kini. – UTUSAN











