Hantar kapal perang jika benar perairan negara diceroboh - Utusan Malaysia

Hantar kapal perang jika benar perairan negara diceroboh

Azmi Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia wajar menghantar kapal perang sekiranya benar berlaku pencerobohan kapal dipercayai milik Pengawal Pantai China (CCG) dalam lingkungan 12 batu nautika  perairan negara.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr. Azmi Hassan berkata, langkah itu sebagai tindakan balas dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

Namun katanya, dakwaan berlaku pencerobohan kapal CCG di perairan negara apabila kelihatan berlayar berhampiran sebuah pelantar minyak di Sarawak baru-baru ini adalah tidak benar.

“Kawasan tersebut berlaku di luar 12 batu nautika dari pantai dan merupakan zon ekonomi eksklusif (ZEE) dunia yang membenarkan kapal antarabangsa termasuk kapal perang berlayar di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Justeru katanya, Malaysia perlu berhati-hati dalam sebarang tindakan termasuk membuat nota bantahan agar tidak melebihi apa yang diperuntukkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Kawasan perairan sehingga 12 batu nautika dari pantai adalah milik negara dan jika dicerobohi tanpa sebab barulah boleh dianggap menggugat kedaulatan.

“Dalam hal ini China faham mereka tidak boleh menceroboh kawasan yang berada dalam lingkungan tersebut. Tindakan yang dilakukan hanya strategi bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menggunakan kawasan perairan berkenaan,” katanya.

Azmi memberitahu, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk mengeksploitasi sumber hidup dan tidak hidup yang ada di perairannya dan juga di perairan antarabangsa itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN