Doa ibu, bijak urus masa dan tunjuk ajar bapa, resepi kejayaan pelajar

Doa ibu, bijak urus masa dan tunjuk ajar bapa, resepi kejayaan pelajar MTNP

WAN NURFASSOLIHAH WAN MOHD. KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Saya tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini kerana saya belajar biasa- biasa sahaja”.

Demikian ujar, Wan Nurfassolihah Wan Mohd. Kamal, 22, bekas pelajar cemerlang yang menerima Anugerah Diploma Tahfiz 2019 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 dalam jurusan Syariah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini.

Menurutnya, kejayaan diperolehnya itu adalah berkat doa ibunya menjadi asbab kepada kecemerlangan tersebut berikutan turut mengakui pernah berdepan kegagalan dalam pelajaran sebelum ini.

“Bagi saya, setiap perkara dilakukan, doa ibu adalah senjata penting dalam menentukan kejayaan, selain kita perlu berusaha keras untuk berjaya.

“Saya akui, menjadi kuat dan berdiri di sini disebabkan doa daripada ibu dan orang-orang di sekeliling yang mahu saya cemerlang serta berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2021, yang diadakan di Hotel Zenith di sini hari ini.

Wan Nurfassolihah kini menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Halal Industri di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dalam pada itu, bagi penerima Anugerah Kokurikulum 2021, Muhammad Asyraf Azhar, 18, yang mewakili MTNP dalam Debat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa berkata, pengurusan masa begitu dititikberatkan dalam usaha memperoleh kecemerlangan dalam bidang kokurikulum.

Katanya, terdapat tiga perkara yang perlu diberikan fokus utama iaitu menghafaz al-Quran, akademik dan kokurikulum.

“Saya perlu membahagikan masa sebaiknya dalam membuat tiga perkara penting yang mana pada sebelah awal pagi menumpukan perhatian kepada pembacaan Al-Quran, kemudian belajar dan selepas solat Maghrib menghafaz serta bertasmik bersama ustaz.

“Dengan itu juga, saya selesai menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk seawal 16 tahun dan itu membuatkan lebih mudah untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti kokurikulum dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sementara iru, seorang lagi penerima Anugerah Kokurikulum 2019, Ouswa Huseina Badli Shah, 18, yang cemerlang dalam bidang robotik sehingga ke peringkat antarabangsa berkata, percubaannya dalam bidang tersebut ternyata memberikannya peluang untuk lebih ke hadapan.

“Selain daripada menghafaz 30 juzuk al-Quran di MTNP dan berjaya menghafal keseluruhannya ketika berumur 16 tahun juga suka berminat bergiat aktif dalam bidang kokurikulum terutama dalam bidang penyampaian.

“Dengan tunjuk ajar bapa, Badli Shah Alauddin dan beberapa tips yang dikongsikan bersama dalam bidang pengucapan awam, saya gunakan sebaiknya ketika mewakili MTNP Tahfiz dalam pertandingan Robotik di Bangkok, Thailand.

“Alhamdulillah… saya gembira dan berbesar hati dengan berkat usaha serta doa daripada orang sekeliling mampu memperoleh kecemerlangan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN