PUTRAJAYA: Cadangan kerajaan Sarawak mahu menggantikan istilah jawatan Ketua Menteri kepada Premier perlu diperhalusi semula kerana ia memberi banyak implikasi jangka panjang.
Demikian saranan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sebagai mengulas perubahan nama ketua kerajaan negeri tersebut.
“Salah satu implikasinya ialah terjejas konsep federalisme yang jadi asas Persekutuan Malaysia dan ini perlu diteliti dengan baik,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan 2022) pada 15 Februari lalu, bagi mengubah perkataan Ketua Menterinya.
Usaha itu menerima kritikan pelbagai pihak walaupun kerajaan Sarawak menjelaskan istilah Premier juga diamalkan banyak negara Komanwel Britain bagi jawatan pemimpin wilayah tertentu.
Ia turut menarik perhatian Presiden Persatuan Genealogi Malaysia, Megat Iskandar Megat Zaharuddin yang berpendapat istilah tepat Premier dalam bahasa Melayu sebenarnya Bendahara.
Mengulas lanjut, Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, ramai rakannya di Sarawak ada menghubunginya kerana terkejut.
“Saya pun terperanjat kerana pihak DBP Wilayah Sarawak tidak dimaklumkan namun setakat ini belum ada ketetapan rasmi istilah itu dalam kamus bagi merujuk perdana menteri,” jelasnya.
Perkataan itu, kata beliau, jika dilihat dari sudut sejarah, berasal daripada bahasa Perancis yang bererti pertama, ulung atau utama setelah diubah suai ejaan istilah kuno Latin iaitu primarius.
Berdasarkan semakan Utusan Malaysia menerusi Kamus Dewan Perdana terbitan DBP, tiada perkataan premier dalam kamus bahasa Melayu terbesar di dunia itu daripada 120,000 entri.
Justeru, beliau berpendapat, jika Sarawak boleh ada ketua kerajaan dengan istilahnya itu setara taraf Perdana Menteri, maka jirannya, Sabah pun berhak melakukan perkara yang sama.
“Isu asasnya, adakah istilah Ketua Menteri selama ini ada kekurangan pelaksanaannya dalam Perlembagaan berkait dengan 20 peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak?” soal Awang.
Apatah lagi, pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan Parlimen akhir tahun lalu tidak menyentuh jawatan Premier secara spesifik.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar perbincangan wajar diadakan untuk memperhalusinya dengan berdasarkan peruntukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Ujar beliau, jika ada sekali pun keperluan pertukaran nama ketua kerajaan sebagai rentetan pemurnian MA63, konsep berkaitan kuasa dan bidang tugas itu perlu diperincikan lebih jelas.
“Maka istilah dan konsep yang setaraf ‘Perdana Menteri’ perlu dielakkan kerana ia dibimbangi boleh tercetus persepsi konon ada jawatan Perdana Menteri di peringkat negeri,” tegasnya.
Langkah pencerahan istilah itu kata Awang, juga adalah amat perlu demi memelihara keharmonian negara dan menjaga sensitiviti negeri-negeri lain dalam ruang lingkup persekutuan. –UTUSAN ONLINE