KLANG: Kerajaan negeri mahu lebih ramai peniaga mendapat tempat di Bazar Ramadan dengan memastikan lebih banyak tapak niaga itu disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan negeri, Ng Sze Han berkata, inisiatif itu adalah bagi memastikan mereka yang memohon berpeluang mendapat tempat dalam Bazar Ramadan serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dapat dipantau.
“Kita nak pastikan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penganjuran Bazar Ramadan dapat dipatuhi dan pergerakan pengguna juga mudah dikawal untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19.
“Tahun lepas, sebanyak 11,773 petak Bazar Ramadan di seluruh Selangor yang disewa peniaga,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penghargaan Klang Sejahtera di Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, hari ini.
Minggu lalu, kerajaan pusat memberi jaminan bahawa Bazar Ramadan boleh dianjurkan meskipun kes Covid-19 di negara ini masih tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP berhubung pengoperasian bazar tersebut sedang dirangka dan akan diumumkan kelak.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, lebih ramai anggota penguat kuasa PBT akan ditempatkan di bazar terbabit bagi memastikan orang ramai mengikut SOP yang ditetapkan.
“Sekiranya penguatkuasa tidak cukup, kita akan memohon bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk bantu mereka.
“Ramai peniaga yang saya jumpa sebelum ini memaklumkan bahawa mereka berminat untuk berniaga di Bazar Ramadan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu. –UTUSAN ONLINE