SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mencadangkan lebih 9,000 mangsa banjir yang rumahnya rosak di negeri itu diberikan bantuan kewangan dan bukan dibaiki rumah seperti yang dicadangkan kerajaan pusat sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, bantuan kewangan dapat diberikan lebih cepat berbanding membaiki rumah mereka yang akan memakan masa bagi proses pemeriksaan dan siasatan.
“Difahamkan ada mangsa banjir yang telah membaiki rumah mereka sendiri, jadi saya cadangkan kita beri mereka bantuan kewangan.
“Bagaimanapun perkara berkenaan baharu dalam peringkat cadangan, namun Kerajaan Persekutuan yang akan membuat keputusan berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran rasmi Selangor Intelligent Strata Property System (SISP) di Glenmarie Golf and Country Club di sini, hari ini.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan pusat bersedia membiayai kos membina rumah semula sesebuah rumah mangsa banjir yang musnah berjumlah RM56,000.
Selain itu, peruntukan kepada setiap mangsa banjir sehingga RM15,000 turut diberikan, namun ia berdasarkan kerosakan yang dialami rumah mereka.
Sementara itu, Rodziah memaklumkan bahawa beliau memberi masa sehingga hujung bulan ini kepada agensi kerajaan negeri yang berkaitan bagi memberi penilaian kerosakan sesebuah rumah mangsa banjir yang rosak yang memohon bantuan di bawah Program Rintis Pembaikan Rumah Pasca Banjir 2022.
“Laporan berhubung perkara ini saya terima tiap-tiap minggu dan sehingga minggu lepas, kita sudah menilai lebih 3,000 buah rumah,” katanya. -UTUSAN ONLINE