Antilompat parti: Aziz Bari dakwa PM tak minat - Utusan Malaysia

Antilompat parti: Aziz Bari dakwa PM tak minat

Abdul Aziz Bari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hasrat pelbagai pihak untuk melihat Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti dibentangkan di Parlimen mungkin tidak kesampaian kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah bercakap mengenai perkara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, sedangkan perkara itu telah ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan akta antilompat parti direalisasikan seperti tidak begitu jelas.

“Komen Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berkata RUU itu perlu diluluskan berikutan MoU tersebut merupakan perjanjian hitam putih, adalah betul.

“Ini kerana PH setuju tanda tangan MoU atas dasar itu namun setakat ini belum kelihatan drafnya pun, jadi susah untuk saya komen.

“Kalau ada model negara lain pun ia perlu disesuaikan dengan sistem kita.

“Tetapi yang merisaukan ialah Perdana Menteri sendiri tidak pernah bercakap mengenai soal ini, komitmen beliau tidak jelas,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak mengulas gesaan pembangkang agar RUU antilompat parti dilaksanakan segera tanpa kompromi seperti yang ditetapkan dalam MoU bagi mengelakkan sebarang persepsi buruk terhadap negara ini.

Pembangkang berharap RUU itu dapat dilaksanakan pada Mac ini seperti mana yang dijanjikan dalam MoU yang ditandatangani kerajaan dengan pembangkang sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×