LANGKAWI: Seramai 4,000 pelancong antarabangsa memasuki pulau peranginan itu sejak projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilaksanakan pada November tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, seramai 125 orang pelancong asing atau kurang daripada satu peratus yang memasuki pulau ini didapati positif Covid-19 selepas saringan dilakukan terhadap pelancong tersebut.
Bagaimanapun, menurutnya, kesemua pelancong yang positif itu dalam kategori 1 dan 2 kerana tidak mempunyai gejala serius.
“Mereka hanya perlu menjalani kuarantin di hotel penginapan masing-masing, tanpa perlu dihantar ke hospital di tanah besar untuk menjalani rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menanam Pokok Bakau di Biogeotrail Kubang Badak di sini hari ini.
Nasaruddin berkata, pihaknya juga mengalu-alukan lanjutan pelaksanaan LITB sehingga sempadan negara dibuka dengan beberapa penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi LITB bagi menggalakkan lebih ramai pelancong asing masuk pulau ini.
Menurutnya, antara penambahbaikan tersebut adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) juga dijadikan sebagai salah satu pintu masuk ke Langkawi selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambahnya, jumlah insurans perlindungan Covid-19 terhadap pelancong asing juga dikurangkan daripada AS$80,000 kepada AS$50,000 sahaja.
Jelasnya, pelancong asing juga kini dibenarkan mengunjungi ke destinasi lain pada hari kelima setelah menginap di Langkawi selama empat hari berbanding pada hari kelapan menurut SOP sebelum ini.
“Kita percaya dengan penambahbaikan SOP ini, bilangan pelancong antarabangsa ke Langkawi akan terus meningkat selepas ini,” ujarnya.
Terdahulu, akhbar melaporkan, kerajaan mengumumkan LITB dilanjutkan pelaksanaannya sehingga sempadan negara dibuka sepenuhnya.
LITB mula dilaksanakan pada 15 November lalu dengan membenarkan pelancong lengkap vaksinasi Covid-19 sahaja dapat bercuti di pulau pelancongan ini. –UTUSAN ONLINE