PETALING JAYA: Kerajaan digesa mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengawal selia isu lambakan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Hamid berkata, penubuhan RCI itu dilihat mampu mengenal pasti jumlah sebenar warga asing yang menetap di negara ini selain yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Menurut beliau, ia juga dilihat dapat membantu kerajaan membuat penilaian semula status dan latar belakang setiap pelarian.
“Apabila kita ada data terperinci mengenai mereka, baru kita dapat kesan adakah pelarian itu benar-benar warganegara seperti yang didakwa mereka? Contohnya warga Bangladesh, ada juga yang mendakwa dia pelarian Rohingya walhal sebenarnya dari negara itu kerana persamaan budaya dan etnik.
“Jadi apabila wujudnya satu suruhanjaya khas, kerajaan dapat mengawal selia secara khusus setiap pelarian dan PATI yang tidak berdaftar dengan mana-mana agensi selain mencegah berlakunya kes jenayah melibatkan warga asing,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Shahul Hamid berkata, UNHCR digesa mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga bagi mengurangkan beban kerajaan.
Ujar beliau, kebanyakan pelarian yang diberi penempatan semula ke negara lain melibatkan individu mempunyai taraf pendidikan tinggi.
Kata beliau lagi, perkara ini dilihat merugikan kerajaan kerana kepakaran mereka boleh membantu negara dalam bidang tertentu.
“Mereka yang bijak pandai dihantar ke negara ketiga seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat tetapi pelarian yang kurang pandai kita terpaksa tanggung.
“Perkara ini perlu dipandang serius kerana telah berpuluh tahun kita hadapi namun masih tiada mekanisme yang tepat dalam menangani lambakan pelarian dan warga asing di negara ini,” ujar beliau.
Mingguan Malaysia kelmarin mendedahkan Malaysia langsung tiada data mengenai pelarian malah tiada mekanisme penyusunan yang mengakibatkan sukar mengesan kes jenayah dan penjenayah dalam kalangan kumpulan itu. – UTUSAN ONLINE










