Tawar khidmat lori percuma untuk kegunaan musim banjir - Utusan Malaysia

Tawar khidmat lori percuma untuk kegunaan musim banjir

LORI milik Yusuf Abd. Latip yang ditawarkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir atau pihak NGO menghantar bantuan di Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Atas sikap prihatin dan peka terhadap kesulitan dihadapi kebanyakan mangsa banjir, seorang pemilik lori di daerah ini menawarkan khidmat percuma menggunakan kenderaan miliknya.

Bagi Yusuf Abd. Latip, 35, dia menawarkan lori tiga tan miliknya beserta pemandu untuk digunakan oleh mangsa-mangsa banjir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pengangkutan bagi membantu penghantaran bantuan banjir.

“Idea ini tercetus apabila saya lihat banyak kawasan sudah dinaiki air dengan cepat. Banyak penghuni rumah yang telah berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS) tidak sempat menyelamatkan barang-barang kerana tiada lori untuk mengangkut barang keluar dari rumah. 

“Di samping itu, banyak juga orang perseorangan dan NGO yang mahu memberi bantuan kepada mangsa banjir, tetapi, tiada pengangkutan yang selamat untuk redah banjir. 

“Lori tersebut dapat digunakan bagi membawa makanan atau bahan mentah kepada petugas mahupun golongan yang memerlukan sepanjang musim banjir ini di Segamat,” katanya ketika ditemui di Kampung Contoh Tenang Station, hari ini. 

Menurut Yusuf, dia yang mula menjadi usahawan lori pada tahun 2009 selepas berhenti kerja kilang di Johor Bahru. Kini, dia memiliki lima buah lori, selain tujuh lagi lori milik adik-beradiknya yang lain.

“Tiada bayaran sewaan lori. Hanya isi minyak lori sahaja sudah mencukupi. Lokasi saya boleh pergi di sekitar daerah Segamat dan Labis.

“Saya nak sumbang dari segi wang ringgit saya tidak mampu. Jadi apa yang mampu saya usahakan lori ini untuk saya gunakan bantu orang lain,” kongsinya. 

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu, rumahnya tidak dinaiki air, namun, keadaan rumah jiran-jirannya amat membimbangkan.

Katanya, penduduk di kawasan itu juga menjangkakan air yang sudah naik ke paras lutut akan meningkat jika hujan lebat dalam sehari dua ini. 

“Dalam keadaan yang sukar ini, kita perlu memberi sokongan dari sudut apa jua yang kita mampu untuk meringankan ujian yang menimpa orang lain. Semoga dengan bantuan yang saya berikan ini mendapat keberkatan dan dimurahkan rezeki saya sekeluarga,” kata anak kelima daripada 12 beradik itu.

Bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan lori Yusuf boleh menghubunginya di talian 017-7784753 bagi maklumat lanjut. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya