PUTRAJAYA: Parti–parti politik perlu memberi peluang kepada lebih ramai orang muda bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 atau sekurang-kurangnya 70 peratus muka baharu supaya mereka boleh bersama dengan pemimpin berpengalaman menerajui pemerintahan negara.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, undang-undang kelayakan mengundi 18 tahun (Undi18) serta kelayakan menjadi calon sebagai wakil rakyat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu bentuk pembaharuan proses demokrasi pilihan raya di negara ini.
Menurutnya, lebih 150 negara yang mengamalkan demokrasi pilihan raya di dunia termasuk semua negara demokrasi maju telah melaksanakan undang-undang tersebut.
“Dengan penyertaan aktif pemimpin muda dalam politik, ia memberikan hak dan peluang kepada mereka menyuarakan idea-idea mewakili rakyat generasi muda dalam mencorakkan tindakan dan hala tuju serta dasar pemerintahan kerajaan akan datang.
“Secara tidak langsung akan berlaku proses peremajaan kepimpinan di semua peringkat pentadbiran dan pemerintahan dalam parti-parti politik dan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas sidang khas DUN Johor sebulat suara meluluskan pindaan ke atas Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan penduduk berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya.
Wan Ahmad berkata, walaupun ada suara yang meragui kesediaan dan kebolehan anak muda untuk menjalankan peranan yang matang di Dewan Rakyat atau DUN, perkara itu tidak perlu diragui.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Undi 18 amat penting untuk mematangkan demokrasi negara sekali gus membawa ke arah pembentukan minda demokrasi kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, apa yang diperlukan kini adalah memastikan anak muda khususnya pengundi muda 18 tahun memahami asas kestabilan negara dan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara supaya mereka tidak mudah dipengaruhi dengan ideologi politik parti yang tersasar daripada aspirasi itu.
“Kempen politik matang boleh dicorakkan oleh orang muda untuk menukar elemen propaganda negatif, pembunuhan karakter serta cacian yang masih wujud dalam budaya kempen politik negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










