Pas Selangor kritik kerajaan negeri lemah urus bencana - Utusan Malaysia

Pas Selangor kritik kerajaan negeri lemah urus bencana

AHMAD YUNUS HAIRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai banjir dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari lalu menunjukkan pengurusan banjir di Selangor lemah.

Oleh demikian, Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negeri ini perlu  bertanggungjawab untuk segera memperbaikinya demi memastikan bencana yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, PH di Selangor terbukti tiada perancangan yang komprehensif bagi menghadapi kerumitan banjir bandar (urban flooding) sebagaimana diutarakan oleh Perdana Menteri.

Menurutnya, situasi banjir tersebut mencetuskan situasi kelam-kabut dengan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasinya di hari pertama dan hari-hari berikutnya.

“Pas Selangor kesal akibat kelemahan dan kegagalan ini rakyat yang terjejas telah menjadi mangsa dan terpaksa menanggung sengsara.

“Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat menjelaskan terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Selangor dan itu membuktikan betapa lemah serta tidak bersedianya PH menghadapi saat cemas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu rakyat negeri ini khasnya di sebahagian besar dari sembilan daerah di negeri ini terjejas dengan bencana banjir yang melanda pada 17 Disember lalu. 

Bencana itu diakibatkan purata taburan hujan lebat luar biasa iaitu 380 mililiter pada hari berkenaan selain kesan air laut pasang besar yang dalam masa sama menyebabkan banyak nyawa terkorban serta kemusnahan harta dan kemudahan infrastruktur.

Ahmad Yunus berkata, bagaimanapun, biarlah bencana banjir tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak khasnya kerajaan PH Selangor.

Katanya lagi, langkah-langkah segera perlu diambil untuk mengatasi segala kelemahan yang digarap oleh Perdana Menteri termasuk memperbaiki pengurusan dan komunikasi di peringkat negeri dan daerah.

“Selain itu, kerajaan negeri khasnya pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah drastik bagi mengurangkan risiko berulangnya bencana seumpama ini dengan memastikan saluran longkang monsun sentiasa diurus dengan baik dan tidak tersumbat dengan sampah-sarap.

“Ini bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, tetapi, ini masanya untuk memastikan rakyat khasnya di Selangor tidak lagi menjadi mangsa akibat kecuaian dan kelemahan pentadbiran negeri,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya