KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mungkin perlu distruktur semula bagi membolehkan punca kuasa ditambah di negeri dan daerah, sekali gus melancarkan gerak kerja pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, NADMA bertindak sebagai penyelaras, namun, di negeri-negeri pula, masing-masing mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah sendiri.
“Kita akan membincangkan perkara ini, mungkin perlu dilakukan penstrukturan semula supaya punca kuasa itu boleh ditambah sekali gus dapat melancarkan pengurusan bencana. Sekarang ini, Nadma hanyalah penyelaras.
“NADMA hanya dipanggil untuk mesyuarat bersama negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan di bawahnya pula ada peringkat daerah yang dipimpin Ketua Jajahan,” katanya dalam sidang akhbar di hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri pertemuan tertutup bersama Biro Politik UMNO Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pengurusan bencana negara perlu diperkemaskan bagi mengelak kerajaan berdepan kerugian besar dalam apa jua musibah dan bencana pada masa depan. -UTUSAN ONLINE










