PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan sama ada pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melalui proses pemeriksaan terperinci oleh Perdana Menteri.
Ketika pelantikan Azam pada 9 Mac 2020, Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas pelantikan itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Azalina berkata, pemeriksaan latar belakang seseorang dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum sesuatu pelantikan dibuat selaras Seksyen 15 Akta SPRM 2009.
“Azam dilantik oleh Yang Berhormat Pagoh (Muhyiddin) ketika menjadi Perdana Menteri kelapan. Saya menganggap pemeriksaan latar belakang telah dilakukan oleh pihak berkuasa berhubung pelantikan beliau. Persoalannya, adakah isu ini diketengahkan ketika itu?,” soalnya dalam hantaran di Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada isu melibatkan Azam dibawa ke Jawatankuasa Aduan SPRM sebelum atau ketika pelantikannya dibuat.
Jelasnya, Seksyen 14 Akta SPRM 2009 pula menyatakan, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Julai tahun lalu, dianggotai tiga Senator, dua Ahli Parlimen dan dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat.
Kata Azalina lagi, secara prosedurnya, Jawatankuasa Khas menjalankan pengawasan terhadap Badan Penasihat SPRM termasuk dalam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di bawah Seksyen 13 Akta sama dan jelas terdapat dua badan pemantau khas dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Adakah kita benar-benar perlu memwujudkan lebih banyak jawatankuasa bebas bagi memantau SPRM?,” soalnya.
Baru-baru ini, Azam yakin dan menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Beliau antara lain tidak melihatnya sebagai isu apabila membenarkan adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun Azam membeli saham. – UTUSAN ONLINE










