fbpx

MPP baharu UMP disaran subur empat budaya dan kebersamaan mahasiswa

YUSURRIE Zainuddin (empat dari kanan) bersama barisan tertinggi MPP UMP di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu dilantik bagi sesi 2021/2022 disaran memberi perhatian serius terhadap penyuburan budaya hikmah, sejahtera, hormat menghormati dan kasih sayang.

Ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai program dan aktiviti agar UMP terus harmoni dan berseri dengan suasana kampus yang kondusif untuk tujuan pengajian dan juga perpaduan.  

Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, sebagai MPP, mereka berupaya menzahirkan kepimpinan berimpak, tertib dan adab, profesionalisme komunikasi serta kualiti kerja. “Kematangan kepemimpinan dicirikan dengan diplomasi, konferensi dan kesusilaan sewajarnya diangkat sebagai watak dan wibawa MPP UMP secara konsisten.

“Interaksi dengan pihak pengurusan melalui pelbagai saluran rundingan dan musyawarah yang harmoni dan profesional hendaklah dikekalkan.

“Ini adalah penting bagi memastikan MPP dilihat sebagai satu badan yang benar-benar mewakili kepentingan mahasiswa secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Yuserrie berkata, apa yang lebih utama ialah keupayaan MPP berperanan sebagai suara mahasiswa secara profesional tanpa dipengaruhi sebarang sentimen negatif sama ada dari dalam atau luar kampus. 

 “Mereka ini akan bergerak seiring dengan pihak pengurusan untuk melestarikan iklim kampus yang sejahtera dan kondusif dalam kerangka Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25),” katanya. 

Baru-baru ini, bertempat di Dewan Astaka, UMP di Gambang di sini, Yang di-Pertua MPP UMP 2021/2022, Ahmad Fahmi Fazli mengetuai acara angkat sumpah bersama 24 perwakilan termasuklah Timbalan Yang di-Pertua (Pekan), Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime, Timbalan Yang di-Pertua (Gambang), Kaiyisah Khairah Hasri dan Bendahari Kehormat, Nur Amira Badri.

 Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, penggunaan slogan baharu ‘Kebersamaan Mahasiswa; diharap dapat melonjak dan menaikkan lagi semangat mahasiswa dalam menuju kejayaan.

 “Kebersamaan ini merupakan langkah pertama dan tidak hanya berfokuskan pada taraf yang sama namun kebersamaan yang dibawa ialah berfokuskan hasil bersama yang dapat memberikan kebaikan.

 “Malah, dengan kebersamaan ini, setiap mahasiswa dapat melahirkan kekuatan dan dengan kebersamaan jua mampu melahirkan perubahan,” katanya.

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI