Kluster Pendidikan: Kerajaan buat keputusan selepas terima laporan penuh - Utusan Malaysia

Kluster Pendidikan: Kerajaan buat keputusan selepas terima laporan penuh

ISMAIL Sabri Yaakob dalam sidang di Pejabat UMNO Kelantan di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan akan meneliti semula kaedah sesi persekolahan secara bersemuka ketika ini selepas menerima laporan terperinci berkaitan ‘kluster pendidikan’ yang dikatakan semakin serius.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pendidikan sudah diarah menyediakan laporan itu kepada Jawatankuasa Protem yang dipengerusikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Kita tahu kes Covid-19 dilaporkan meningkat mendadak sejak sesi persekolahan dibuka, namun, agak sukar untuk kita membuat pertimbangan sama ada untuk kita buka sekolah dan sebaliknya.

“Kalau kita terus menutup sekolah, ibu bapa bimbang dari segi masa depan anak mereka, lebih-lebih lagi, kaedah pembelajaran melalui dalam talian sebelum ini juga tidak diterima sepenuhnya oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Biro Politik UMNO Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan sebanyak 52 kluster pendidikan atau 66.2 peratus daripada 77 kluster baharu membabitkan 27 sekolah berasrama di seluruh negara dikesan hanya dalam tempoh kira-kira seminggu.

Sehubungan itu, pelbagai pihak menggesa Kementerian Pendidikan meneliti semula kaedah persekolahan secara bersemuka, termasuk mengembalikan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN