Kerajaan Perak kukuh, tidak berlaku PRN - Utusan Malaysia

Kerajaan Perak kukuh, tidak berlaku PRN

SAARANI Mohamad menanam pokok pada perasmian gelanggang Arena Sukan Aulong di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan berlaku di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri masih mendapat sokongan kuat termasuk daripada pembangkang dan akan diteruskan sehingga habis penggal.

“Apa yang berlaku di Johor berkemungkinan besar tidak akan berlaku di negeri ini.

“Pembubaran DUN di sana tidak akan memberi impak ke atas negeri ini. Sehingga ke hari ini, saya masih lagi mempunyai sokongan yang kuat, baik daripada parti dalam kerajaan mahupun pihak pembangkang.

“Dengan ruang masa yang masih ada sehingga habis penggal ini, lebih baik beri tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri ini dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan gelanggang Arena Sukan Aulong di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak.

Kerajaan Negeri Perak dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Saarani ketika ini memiliki sokongan 36 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu empat kerusi, Pas tiga kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.

DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Sementara itu, mengenai pembubaran kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas di Kelantan, Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, keputusan itu tidak memberi impak terhadap hubungan antara kedua parti itu di negeri ini.

“Apa yang berlaku di Kelantan boleh saya katakan sebagai ‘lain padang lain belalang.

“Setakat ini di Perak kita baik dengan semua parti, tak kira parti yang berada dalam blok kerajaan mahu pun pembangkang.

“Segalanya masih berjalan dengan baik di negeri ini dan kita sedang memberi tumpuan untuk pembangunan Perak serta menjaga kebajikan rakyat termasuk di kawasan pembangkang tanpa menganaktirikannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN