Jemaah umrah tidak dapat pulang kerana positif Omicron - Utusan Malaysia

Jemaah umrah tidak dapat pulang kerana positif Omicron

Gambar hiasan - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekumpulan jemaah umrah negara tidak dapat pulang ke tanah air selepas dipercayai dijangkiti Covid-19 varian Omicron semasa berada di Tanah Suci.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kumpulan jemaah itu sedang menjalani kurantin di sana, namun jumlahnya tidak dapat dikenalpasti.

Menurut beliau, jangkitan Covid-19 kepada para jemaah bukan perkara baharu dan setiap individu yang ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah mempunyai insuran persendirian.

“Tak perlu risau kerana setiap daripada mereka mempunyai insuran untuk melindung diri mereka dan sedang menjalani kuarantin di sana,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Razali berkata, jemaah yang terlibat akan ditanggung insurans bagi kos penginapan, makan minum dan sebagainya.

Bagaimanapun ujarnya, masalah mungkin timbul kerana cuma tiga daripada tujuh penyedia insurans terbabit membayar terlebih dahulu, manakala baki yang lain menjelaskan kemudian.

Justeru Papuh tambahnya, bersedia merancang untuk membawa isu itu kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar nasib kebajikan jemaah umrah di sana dibela sebaiknya.

Ini katanya, termasuk memohon jasa baik pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah agar dapat berunding dengan pihak hotel untuk membolehkan bayaran diselesaikan selepas balik.

Ditanya adakah jemaah umrah yang tidak dilindungi insurans, Razali berkata, sekiranya wujud, agensi pengendali dianggap melakukan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Namun, kes sedemikian amat terpencil kerana kesemua 474 agensi umrah di seluruh negara sudah memasukkan kos insurans dalam pakej mereka selain ada jemaah memohon sendiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN