KUALA LUMPUR: DAP memerlukan kepemimpinan baharu ekoran beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti itu terutama selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Sarawak.
Terkini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas ahli Dewan Negara di Sabah mengumumkan keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, struktur kekuatan DAP dijangka terus goyah jika tidak mengambil pendekatan drastik sedangkan tanda-tanda kejatuhan DAP sudah kelihatan sejak selepas tiga pilihan raya negeri.
Katanya, ‘dinasti Lim’ yang menerajui kepimpinan DAP wajar digantikan dengan pemimpin lebih segar dengan mengetengahkan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
“Kita tidak boleh memukul rata masalah yang berlaku dalam DAP kerana senario setiap tempat adalah berbeza sama ada di Sabah, Melaka dan Sarawak. Cuma, kuncinya adalah dengan memperbaharui kepimpinan parti.
“Secara tidak langsung, ini dapat memberi peluang kepada DAP untuk memperbaiki masalah-masalah yang berlaku sama ada di peringkat dalaman atau luaran parti. Dari dahulu hingga kini asyik-asyik Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, adakah sudah tiada orang lain yang mengambil alih,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 18 Januari lalu, DAP dikejutkan dengan tindakan bekas ADUN, Datuk Danny Law Heng Kiang, 60, memutuskan meninggalkan parti diikuti ADUN Yong Peng, Che Peck Choo yang tidak akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya akan datang bagi memberi perhatian kepada keluarganya.
Keadaan itu pula berbeza di Sabah apabila ADUN Sri Tanjong, Justin Wong; ADUN Elopura, Calvin Chong dan bekas Senator, Adrian Lasimbang meninggalkan DAP serta-merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP negeri.
Sementara itu, Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata, isu melibatkan DAP dilihat berkait dengan perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangi antara pembangkang dan kerajaan.
Keadaan itu membuatkan akar umbi DAP keliru sama ada parti itu masih meletakkan asas perjuangan sebenar sebagai pembangkang atau telah menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Sementara itu di Kota Kinabalu, dalam kenyataan bersama, tiga pemimpin DAP yang keluar parti tersebut berkata, mereka memulakan kerjaya politik untuk memperjuangkan hak Sabah termasuk mendapatkan autonomi, infrastruktur yang lebih baik dan yang lebih penting, membina masyarakat yang inklusif tanpa mengira bangsa dan agama.
“Tetapi malangnya kami tidak dapat mencapainya melalui DAP Sabah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










